Nasib ilmu Faraid 8:16 PM

Pengurusan pewarisan dalam Islam sangat penting terutama dalam zaman moden ini dimana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru. Antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga boleh mencetuskan pertikaian, perbalahan, pergaduhan serta permusuhan di antara suami isteri, ibu bapa, anak beranak, saudara mara atau sebagainya. Apabila kebendaan dijadikan kayu ukur utama, krisis keluarga lebih mudah berlaku dan rumah tangga mudah menjadi porak peranda.
Krisis keluarga akibat kepentingan kebendaan bertambah parah dengan tiadanya kefahaman masyarakat kita tentang ilmu pembahagian harta pusaka atau apa yang disebut sebagai ilmu faraid.
Ini adalah kerana ilmu faraid merupakan ilmu yang mula-mula diangkat dari umat manusia. Selain daripada itu, ilmu faraid juga merupakan ilmu yang penting sehingga ia dianggap seperdua daripada ilmu.Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. bersabda :

Hendaklah kamu pelajari ilmu faraidh, maka sesungguhnya ilmu faraidh adalah suruhan dari agama kamu dan bahawasanya ilmu faraidh adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut dari umatku.”(Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya ilmu faraid itu dicabut bukan dengan dicabut dari manusia tetapi dengan kematian para ulama yang boleh membicarakannya. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w :
“Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula ” (Mutafaq ‘alaih)

Hadis-hadis di atas nampaknya memperkatakan apa yang sedang berlaku pada masa ini kerana tidak ramai dikalangan ulama kita yang mahir dalam bidang faraid. Malah tidak banyak surau atau masjid yang membicarakan tentang ilmu faraid sebaliknya kuliah-kuliah yang diadakan di kebanyakkan masjid berputar disekitar rukun Islam yang lima. Rata-rata seseorang yang ingin mengetahui tentang ilmu faraid terpaksa menunggu seminar atau bengkel yang jarang sekali di adakan. Ini adalah kerana untuk memahami ilmu faraid, seseorang itu harus menggarap dengan baik ilmu usul dan ilmu hisab sekali gus. Mungkin kurangnya kefahaman tentang ilmu faraid membuat sebahagian umat Islam memberikan komen yang negatif terhadap ilmu faraid. Sebaliknya mereka yang faham tentang ilmu faraid telah memberikan komen yang baik walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan untuk memperlecehkan hukum Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan:

Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun”

Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan,

”Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dalam ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan apa sekalipun, boleh ditentukan.”

Oleh itu, mengapakah orang yang bertitlekan islam sendiri menolak dan dipersoalkan kewujudan dan keadilan ilmu ini pada masa kini? Sedangkan orang bukan islam sendiri menyedari akan kebaikan ajaran Allah ini.. renung-renungkan..

0 comments: