PERUNDANGAN ISLAM....... 9:37 PM

Pelaksanaan perundangan Islam di dalam sesebuah negara adalah sangat penting kerana dengan pelaksanaan tersebut dapat mengekalkan keharmonian hidup yang amat diperlukan manusia.
Islam mensyariatkan perundangan ini adalah untuk menjaga beberapa perkara yang merupakan keperluan asas bagi manusia, antaranya ialah:
I Untuk usaha menjaga agama, Islam mengharamkan riddah (murtad) dan mewajibkan hukuman mati ke atas sesiapa yang murtad di samping memberi kebebasan beragama kepada non-muslim kerana tiada paksaan di dalam beragama.
II. Untuk menjaga nyawa, Islam telah mengharamkan pembunuhan serta menetapkan hukuman qisas ataupun diyat atau Irsy terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan bunuh dan yang berkaitan dengannya.
III. Untuk menjaga akal, Islam mengharamkan arak serta setiap yang memabukkan dan telah menetapkan hukuman kepada peminum arak iaitu dikenakan sebatan sebanyak 80 sebatan.
IIII. Untuk menjaga keturunan pula Islam mengharamkan perbuatan zina. Sesiapa yang didapati bersalah, Allah SWT telah menetapkan hukuman rejam sampai mati bagi sesiapa yang sudah berkahwin dan 100 kali sebatan kepada mereka yang masih bujang.V. Untuk menjaga maruah, Islam mengharamkan qazaf (menuduh tanpa bukti). Hukuman kepada pesalah qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali.
VI. Untuk menjaga harta, Islam telah mengharamkan kegiatan sariqah (pencurian) serta hirabah (rompakan). Kepada pencuri dipotong tangannya sebagai hukuman. Manakala hukuman kepada perompak pula hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang (tangan kanan kaki kiri). Sekiranya rompakan itu disertai dengan pembunuhan, maka hukuman mati hendaklah dijatuhkan terhadap pesalah oleh mahkamah.
Segala pembahagian hukuman ini adalah demi kesejahteraan serta kepentingan bersama. Samada penganut Islam mahupun selainnya. Pembahagian ini juga merupakan hukum yang telah sabit dalil pelaksanaannya daripada Al-Quran serta hadis Rasulullah as-Syarif. Bukan peraturan yang direka-cipta atau ditokok tambah oleh sesetengah pihak. Undang-undang Islam ini mempunyai tujuan dan matlamat yang lebih luas daripada mana-mana undang-undang ciptaan manusia. Ianya adalah untuk mengatur masyarakat serta bertujuan membina keperibadian dan juga akhlak yang baik. Menghubungkan ikatan antara manusia dengan Penciptanya dan antara manusia sesama manusia. Matlamatnya juga untuk menegakkan kemaslahatan umat manusia di dunia juga akhirat di samping memenuhi segala tuntutan dan kesempurnaan hidup mereka. Mengawal sifat-sifat terpuji serta menghindari perbuatan tercela.
Namun kini, terdapat sesetengah golongan yang mengatakan bahawa perundangan Islam ini adalah undang-undang lapuk, sudah tidak sesuai di zaman Internet Koridor Raya masa kini. Paling biadab lagi apabila ada yang mengatakan bahawa perundangan Islam adalah undang-undang yang zalim. Lebih malang, ada juga di kalangan penganut Islam sendiri yang terikut-ikut dengan rentak musuh-musuh yang secara terang ingin memperlekehkan ajaran Islam. Para ahli undang-undang Islam sudah banyak membincangkan falsafah hukuman atau keseksaan perundangan Islam. Kesimpulannya menunjukkan bahawa ianya adalah berasaskan keadilan mutlak dan sejagat. Setiap hukuman yang dikenakan adalah sepadan dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman tidak dilaksanakan dengan membabi buta serta tidak pula tanpa pertimbangan. Ia mengandungi falsafah keadilan yang unik dan universal serta berbeza dari semua hukuman atau keseksaan di dalam sistem undang-undang lain. Islam tidak membenarkan hukuman dijatuhkan berdasarkan hawa nafsu individu, masyarakat mahupun pemerintah. Tetapi ianya mestilah mengikut ketentuan daripada Allah yang maha Adil. Oleh kerana itu, segala hukumannya adalah benar-benar berkesan.Firman Allah Taala yang bermaksud:

(“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat”)

Perundangan Islam tertegak di atas konsep keadilan sejagat. Apabila seseorang pemerintah itu menjalankan hukuman serta mematuhi segala etika ditetapkan Islam, maka tiada di dalam penghukumannya itu sebarang sikap pilih kasih. Jauh dari unsur-unsur asabiyah, amalan kronisma yang begitu menjelikkan. Tidak ada perbezaan samada pesalah ‘awam’ ataupun pesalah itu daripada golongan ‘orang besar’. Keadaan ini akan memberi impak yang positif terhadap kehidupan masyarakat majmuk. Demi memelihara kesaksamaan keadilan Islam, pernah di suatu hari Rasulullah SAW mengatakan bahawa seandainya puteri Baginda Fatimah az-Zahra mencuri, nescaya akan dipotong tangannya sebagaimana hukuman yang telah diwartakan oleh Islam kepada pencuri – Mafhum daripada Hadis Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Demikianlah indahnya apabila perundangan Islam serta syariatnya dilaksanakan secara menyeluruh. Sifat dan juga fitrah kejadian setiap manusia adalah sama. Samada daripada kalangan Islam mahupun golongan yang selainnya. Keadilan, kebenaran, kemuliaan peribadi, kedamaian dan apa jua yang berteras kebaikan adalah merupakan satu keperluan di dalam perjalanan hidup mereka di dunia ini.

1 comments:

Anonymous said...

undang2 Islam dh terbukti lbh baik dr undang2 ciptaan manusia..
tp nape manusia terutama nye org Islam sndri mengagung2 kn undang2 moden n perlekehkn undang2 Islam???
kenape kenapeee kenapeeeeeeeeeeeee